Perniagaan
merupakan satu peluang dan ruang yang benar-benar boleh memberikan pulangan
lumayan khsusus bagi mereka yang serius dalam menjalankan bisnes yang diceburi.
Tidak kiralah berniaga apapun, yang penting prospek perniagaan sememangnya
salah satu cabang untuk seseorang itu bergelar jutawan. Fakta sendiri telah
membuktikan bahawa majoriti jutawan adalah lahir daripada golongan para
peniaga. Contohnya, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari merupakan antara jutawan
Melayu terkemuka di Malaysia yang juga merupakan seorang ahli perniagaan dan
usahawan. Begitu juga dengan pelakon Ezany Nizariff yang memiliki kilang kicap
dan belacan berkat usaha gigihnya dalam perniagaan lantas berjaya meraih
pulangan yang lumayan. Menariknya, hanya dengan belacan sahaja sudah mampu
untuk mengangkat seseorang itu menjadi jutawan!! Hatta peniaga kecil yang
menjalankan perniagaan mengikut startegi yang betul juga sebenarnya mampu untuk
bergelar jutawan pada masa akan datang. Beberapa strategi dan panduan telah
digariskan untuk memandu para peniaga kecil terus giat berusaha bagi memastikan
perniagaan berkembang maju dan mampu untuk bergelar jutawan yang Berjaya satu
masa nanti.
Mesti
Pandai MENCURI!!
Haa!!
Untuk menjadi seorang yang berjaya dalam lapangan perniagaan, pihak tersebut
mestilah pandai mencuri. Jangan terkejut!! Mencuri yang dimaksudkan ini
bukanlah bererti perlu melakukan jenayah, tetapi mencuri yang dimaksudkan
adalah bijak mengambil peluang yang ada dalam dunia perniagaan yang mana
peluang-peluang tersebut dapat membantu untuk meningkatkan lagi kejayaan
perniagaan tersebut. Peniaga yang bijak akan memerhatikan keperluan semasa
masyarakat sekeliling. Contohnya, sekiranya di suatu kawasan penempatan
tersebut tidak ada menyediakan perkhidmatan dobi, maka peniaga yang bijak akan
menggunakan peluang tersebut dengan membuka sebuah kedai dobi dan mungkin boleh
bermula secara kecil-kecilan. Inilah yang dikatakan pandai mencuri peluang
dalam perniagaan. Melihat kelemahan sebagai satu peluang. Bijak mengambil dan
menggunakan peluang yang ada sebenarnya satu langkah permulaan untuk seseorang
individu menempa kejayaan yang lebih besar. Ini kerana, tidak semua orang akan
melihat peluang itu sebagai satu peluang. Mungkin ada yang melihat peluang itu
sebagai satu kekurangan dan kelemahan berbeza dengan mereka yang berfikiran
kreatif dan inovatif.
Berpandukan
kepada situasi semasa lapangan perniagaan di Malaysia, masih banyak lagi ruang yang
ada untuk seseorang usahawan kecil melebarkan sayap perniagaannya. Terutama
pihak kerajaan pada masa ini begitu membuka peluang kepada para usahawan kecil
untuk memajukan lagi perniagaan dengan pihak kerajaan siap sedia menghulurkan
bantuan perniagaan khususnya dalam bentuk pinjaman kewangan. Sayangnya, ramai
juga dalam kalangan peniaga masa kini tidak mengetahui skim-skim bantuan
kewangan yang dihulurkan oleh pihak kerajaan yang dapat membantu menaikkan lagi
perniagaan mereka.
Antara
agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam membantu para usahawan dan peniaga
kecil adalah seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Tabung Ekonomi Kumpulan
Usaha Niaga (TEKUN), Perbadanan Nasional Berhad (PNB), dan banyak lagi. Kesemua
ini merupakan peluang yang disediakan pihak kerajaan semata-mata untuk menarik
minat masyarakat supaya menceburkan diri dalam bidang perniagaan seterusnya
mengembangkan lagi perniagaan iaitu bagi mereka yang telahpun memiliki
perniagaan sendiri. Terpulanglah kepada kita sama ada untuk ‘mencuri’ peluang
yang terhidang ini atau tidak.
Motivasi
yang Tinggi
Kegagalan
merupakan satu lumrah yang biasanya akan dihadapi oleh para peniaga. Tetapi
tidak bermakna kegagalan tersebut akan membuatkan kita terus gagal dan tidak
boleh mengecapi kejayaan selepas itu. Malah kegagalan dalam perniagaan
sekiranya dipandang dari sudut yang positif dapat dijadikan sebagai satu
motivasi pembakar semangat untuk meneruskan usaha membangunkan semula
perniagaan yang telah mengalami kegagalan. Motivasi yang tinggi merupakan satu
resepi bagi setiap jutawan. Anda tanyalah kepada mana-mana jutawan sekalipun,
mereka pasti akan menjawab bahawa jika ingin berjaya, semangat dan daya usaha
mestilah seiring dan jangan sekali-kali berputus asa. Peniaga kecil khususnya
yang cepat tewas dengan ujian dan kegagalan yang melanda perniagaan mereka akan
menyebabkan mereka terus gagal!! Berbeza dengan mereka yang mempunyai kecekalan
dan mentaliti yang kuat, kegagalan yang menimpa diibaratkan sebagai satu
cabaran untuk mereka terus berusaha dan berjaya.
Setiap
peniaga harus mengetahui bahawa tiada jalan pintas untuk memperoleh kejayaan
dan kekayaan. Mendiang Tan Sri Lim Goh Tong pernah berpesan dengan mengatakan “..jangan fikir negatif dalam
perniagaan, lakukan secara berperingkat walaupun perlahan-lahan asalkan ia
tindakan tepat..” Peniaga harus tekun, sabar dan gigih dalam
menjalankan perniagaan. Kesabaran merupakan satu aspek yang sangat penting.
Berusahalah dengan sebaik-baiknya. Biarpun perniagaan yang dijalankan bermula
dengan kecil-kecilan dan perlahan tetapi sekiranya diusahakan dengan
bersungguh-sungguh, akan dapat membuahkan hasil yang mengagumkan. Rasulullah
S.A.W juga telah menunjukkan satu contoh yang cukup baik dalam berniaga.
Baginda begitu menekankan faktor kejujuran dan kesabaran dalam berniaga.
Hasilnya, kepercayaan dan keyakinan pelanggan terhadap Baginda S.A.W bertambah.
Begitu juga dengan kita pada hari ini, sekiranya kita amalkan nilai-nilai murni
dalam perniagaan pastinya perusahaan yang kita jalankan akan mendapat perhatian
dan menarik lebih ramai pelanggan. Impaknya, perniagaan menjadi bertambah maju
dan berjaya. Ingat!! Sikap anda dalam menguruskan perniagaan akan memberi kesan
kepada perniagaan anda sendiri.
Lain
Daripada Yang Lain
Ya,
lain daripada yang lain. Kadang-kadang apabila kita membuat sesuatu perkara
yang pelik, kita akan mendapat perhatian yang lebih berbanding kita membuat
perkara-perkara yang biasa. Contoh, apabila kita memakai baju
secara terbalik dan kemudian kita berjalan di pasar raya, pasti kita akan
menjadi perhatian masyarakat sekeliling. Memanglah memalukan dan kelakar tetapi
inilah yang dikatakan lain daripada yang lain. Konsep ini sangat berkesan
apabila diaplikasikan dalam perniagaan. Kita menjual minuman ABC sama seperti
peniaga yang lain, akan tetapi ABC yang kita jual mengandungi aiskrim. Maka
tidak mustahil sekiranya ABC yang kita jual lebih mendapat perhatian pelanggan.
Walaubagaimanapun, untuk menjadi lain daripada yang lain, seseorang itu
mestilah berfikiran kreatif dan kritis. Ini kerana, kita mesti memikirkan suatu
cara yang boleh memberi kelainan terhadap perniagaan kita sama ada kelainan
terhadap produk yang kita jual atau kelainan dari segi cara kita memasarkan
produk yang sedia ada. Aspek kelainan ini merupakan satu langkah yang dapat
menarik lebih ramai pelanggan sekaligus membuatkan pernigaan menjadi lebih
terkenal. Siapa sangka dari sekecil-kecil perniagaan boleh berkembang pesat
sehingga melayakkan kita untuk bergelar jutawan melalui perusahaan yang
dijalankan.
Contoh,
kita boleh melihat usaha yang dijalankan oleh kumpulan adik beradik yang begitu
terkenal dalam bidang nyanyian dan perfileman iaitu KRU. KRU adalah antara
sutradara yang begitu gemar untuk menghasilkan sesuatu yang lain daripada yang
lain. Lihat sahaja filem-filem yang dihasilkan. Kebanyakkannya mempunyai
kelainan yang tersendiri. Bermula dengan Cicakman iaitu merupakan filem
tempatan terawal yang dihasilkan menggunakan sepenuhnya teknik Kesan Khas (CGI)
sehingga berjaya meraih kutipan kasar sebanyak RM5.15 juta pada tahun 2006!!
Terbukti, aspek lain daripada lain iaitu penggunaan teknik CGI oleh KRU untuk
menghasilkan Cicakman membuahkan hasil yang begitu memukau. Oleh itu, setiap
para peniaga kecil perlu menanamkan keazaman yang tinggi dan terus berfikiran
kehadapan untuk menghasilkan sesuatu produk yang lebih menarik.
Persaingan
Sihat
Dalam
sesuatu perniagaan, kecil mahupun yang besar, persaingan sememangnya selalu
wujud dan berlaku. Persaingan dilihat sebagai sesuatu yang bagus untuk
perniagaan tetapi adakalanya persaingan boleh juga memberi kesan buruk kepada
perniagaan. Persaingan yang tidak dapat ditangani dengan baik terutama oleh
para peniaga kecil akan membuatkan mereka berasa sukar untuk meneruskan
perusahaan yang dijalankan. Berapa ramai dalam kalangan peniaga kecil pada hari
ini yang gagal berhadapan dengan persaingan dalam perniagaan? Ada dalam
kalangan masyarakat kita pada hari ini yang bersikap iri hati sekaligus berlaku
khianat kepada peniaga lain hanya kerana mencemburui kejayaan yang dimiliki
oleh peniaga tersebut. Sikap dengki seperti menghasut, menabur fitnah kepada
peniaga lain adalah antara sikap yang boleh menjadikan persaingan tidak sihat.
Pergaduhan juga boleh berlaku.
Oleh
itu, bagi para peniaga kecil, persaingan sebegini adalah perkara biasa dalam
dunia perniagaan dan terpulang kepada anda bagaimana untuk menanganinya.
Sekiranya anda memandang persaingan dengan para peniaga lain sebagai sesuatu
yang sihat, maka sudah pasti anda juga akan turut berlumba-lumba dengan yang
lain untuk meningkatkan kualiti produk yang dipasarkan.
Sekali
lagi saya ingin memetik kata-kata Tan Sri Lim Goh Tong yang menyatakan “..elakkan diri daripada bersikap
tikam belakang dan jangan mencari musuh. Jangan sesekali membuat helah kerana
tidak ada jalan pintas untuk berjaya, kerja keras dan selalu berminat dengan
apa yang dikerjakan..” Ini bermaksud dalam perniagaan, kita perlu
berlumba dengan para peniaga yang lain melalui cara yang baik. Ingat, sebagai
peniaga yang mempunyai wawasan, elakkan daripada mencari musuh sebaliknya
carilah seramai mungkin sahabat dalam perniagaan kerana dalam perniagaan kita
tidak akan selalu berada diatas, adakalanya kita mungkin akan mengalami
kerugian. Seperkara lagi, persaingan sihat juga merangkumi kejujuran dalam
perniagaan. Tidak perlu sama sekali untuk kita menipu semata-mata bagi
mendapatkan keuntungan berganda kerana penipuan hanya akan mendatangkan masalah
dan kerugian kelak. Islam juga melarang sama sekali menipu dalam berniaga
seperti menipu dalam sukatan dan timbangan, menjual barang-barang yang rosak,
menyorokkan barang-barang keperluan harian semasa bekalan barangan tersebut
kekurangan dan menjualnya dengan harga yang tinggi serta bermacam lagi. Apa yang
penting, rezeki yang diperoleh melalui cara yang tidak baik adalah rezeki yang
tidak mendapat keberkatan dari sisi Islam.
Banyak
lagi sebenarnya cara-cara dan teknik yang boleh dilakukan oleh peniaga-peniaga
kecil untuk memastikan perniagaan menjadi lebih berjaya. Walaubagaimanapun,
percayalah anda mampu untuk bergelar jutawan sekiranya keempat-empat elemen
diatas diamalkan dengan baik. Teruskan berusaha kerana perniagaan merupakan
satu perintis untuk seseorang itu menjadi jutawan. Meskipun bermula dengan kecil-kecilan,
tetapi berkat ketekunan dan kesabaran pastinya akan membuahkan hasil yang
membanggakan. Islam sendiri telah menegaskan bahawa perniagaan merupakan 9/10
daripada pintu rezeki. Fakta ini ternyata relevan apabila begitu ramai jutawan
yang lahir didunia hari ini dengan bersandarkan kepada bisnes yang dijalankan.
Mungkin perniagaan yang anda usahakan pada hari ini hanya mampu meraih pulangan
dalam kadar yang kecil, tetapi siapa tahu sekiranya anda terus dan terus
berusaha meningkatkan mutu perniagaan anda, tidak mustahil untuk anda turut
berada dalam kelompok jutawan yang disegani pada satu hari nanti. Semoga
berjaya!!
http://www.usahawan.com/strategi-bisnes/strategi-daripada-peniaga-kecil-kepada-jutawan.html
No comments:
Post a Comment